Dialog Iblis
Dengan Rasulullah
Allah
s.w.t. telah memerintahkan seorang Malaikat berjumpa Iblis supaya dia berjumpa
dengan Rasulullah s.a.w. untuk memberitahu segala rahsianya; samada yang
disukai mahupun yang dibencinya. Hikmatnya ialah untuk meninggikan darjat Nabi
Muhammad s.a.w. dan juga sebagai peringatan dan perisai kepada umat manusia.
Maka Malaikat itu pun berjumpa Iblis
dan berkata, "Hai Iblis! Bahawa Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar
menyuruh engkau menghadap ke hadrat Rasullullah s.a.w. Hendaklah engkau buka
segala rahsia engkau dan apa-apa yang disoal oleh Rasulullah hendaklah engkau
jawab dengan sebenar-benarnya. Jikalau engkau berdusta walau satu perkataan
pun, nescaya akan diputuskan segala suku-suku anggota badanmu, uratmu serta
disiksa dengan azab yang amat keras".
Demi mendengar sahaja kata Malaikat
yang dahsyat itu, Iblis sangat ketakutan. Maka segeralah dia menghadap
Rasulullah s.a.w. dengan menyamar sebagai seorang tua yang buta sebelah matanya
dan berjanggut putih 10 helai; panjangnya seperti ekor lembu. Iblis pun memberi
salam, sehingga 3 kali tidak juga dijawab oleh Rasulullah s.a.w. Maka sembah
Iblis (alaihi laknat),"Ya Rasulullah! Mengapa tuan hamba tidak mejawab
salam hamba? Bukankah salam itu sangat mulia di sisi Allah?"
Maka jawab Nabi dengah marah
"Hai Aduwullah seteru Allah! Kepada aku engkau menunjuk baikmu? Jangan
engkau cuba hendak tipu aku sebagimana engkau tipu Nabi Adam a.s sehingga
keluar dari syurga Habil mati teraniaya dibunuh Qabil dengan sebab hasutan engkau,
Nabi Ayub engkau tiup dengan asap racun ketika dia sedang sujud sembahyang
hingga dia sengsara beberapa lama, Nabi Daud dengan perempuan Urya, Nabi
Sulaiman meninggalkan kerajaannya kerana engkau menyamar sebagai isterinya dan
begitu juga beberapa Anbiya dan pendita yang telah menanggung sengsara akibat
hasutan engkau. Hai Iblis! Sebenarnya salam itu sangat mulia di sisi Allah azza
wajalla, cuma salam engkau saja aku tidak hendak menjawabnya kerana diharamkan
Allah. Maka aku kenal baik-baik engkaulah Iblis, raja segala iblis, syaitan dan
jin yang menyamar diri. Apa kehendak engkau datang berjumpa aku?"
Sembah Iblis,"Ya Nabi Allah!
Janganlah tuan hamba marah. Kerana tuan adalah Khatamul Anbiya maka tuan dapat
kenal akan hamba. Kedatangan hamba adalah disuruh Allah untuk memberitahu
segala tipu daya hamba terhadap umat tuan dari zaman Nabi Adam hingga akhir
zaman. Ya Nabi Allah! Setiap apa yang tuan tanya hamba sedia menerangkan satu
persatu dengan sebenarnya, tiadalah hamba berani sembunyikan." Maka Iblis
pun bersumpah menyebut nama Allah dan berkata "Ya Rasulullah! Sekiranya
hamba berdusta barang sepatah pun nescaya hancur leburlah badan hamba menjadi
abu" Apabila mendengar sumpah Iblis itu, Nabi pun tersenyum dan berkata
dalam hatinya, inilah satu peluang aku untuk menyiasat segala perbuatannya agar
didengar oleh sekelian sahabat yang ada di majlis ini dan menjadi perisai
kepada sekelian umatku.
Soalan
Nabi (1) - "Hai Iblis! Siapakah sebesar-besar musuh engkau dan
bagaimana aku terhadap engkau?" Jawab Iblis - "Ya Nabi Allah! Tuanlah
musuh hamba yang paling besar di antara segala musuh hamba di muka bumi
ini" Maka Nabi pun memandang muka Iblis, dan Iblis pun mengeletar kerana
ketakutan. Sambung Iblis,"Ya Khatamul Anbiya! Adapun hamba dapat merupakan
diri hamba seperti sekelian manusia, binatang dan lain-lain hingga rupa dan
suara pun tidak salah sepertinya, kecuali diri tuan sahaja yang tidak dapat
hamba tiru kerana ditegah oleh Allah. Kiranya hamba menyerupai diri tuan, maka
terbakarlah diri hamba menjadi abu. Hamba cabutkan iktikad anak Adam supaya
menjadi kafir kerana tuan berusaha memberi nasihat dan pengajaran supaya mereka
kuat untuk memeluk agama Islam; begitu jugalah hamba berusaha menarik mereka
kepada kafir, murtad atau munafik. Hamba akan tarik sekelian umat Islam dari
jalan benar kepada jalan yang salah supaya masuk ke dalam neraka dan kekal di
dalamnya bersama hamba"
Soalan
Nabi ke 2 - "Hai Iblis! Betapa perbuatanmu kepada makhluk Allah"
Jawab Iblis - "Adalah satu kemajuan bagi perempuan yang merenggangkan
kedua pehanya kepada lelaki yang bukan suaminya, setengahnya hingga
mengeluarkan benih yang salah sifatnya. Hamba goda segala manusia supaya
meninggalkan sembahyang, leka dengan makan minum, berbuat durhaka, hamba
lalaikan dengan harta benda daripada emas, perak dan permata, rumahnya,
tanahnya, ladangnya supaya hasilnya dibelanjakan kejalan haram. Demikian juga
ketika temasya yang bercampur lelaki perempuan. Di situ hamba lepaskan
sebesar-besar godaan supaya hilang maruah dan minum arak. Apabila terminum arak
itu maka hilanglah akal, fikiran dan malunya. Lalu hamba hulurkan tali cinta
dan terbukalah beberapa pintu maksiat yang besar, datang perasaan hasad dengki
hingga kepada pekerjaan zina. Apabila terjadi kasih antara mereka, terpaksalah
mereka mencari wang hingga menjadi penipu, peminjam dan pencuri. Apabila mereka
teringat akan salah mereka lalu hendak bertaubat atau amal ibadat, hamba akan
galang mereka supaya mereka menangguhkannya. Bertambah keras hamba goda supaya
menambahkan maksiat dan mengambil isteri orang. Bila kena goda hatinya,
datanglaah rasa riak, takbur, megah, sombong dan melengahkan amalnya. Bila pada
lidahnya, mereka akan gemar berdusta, mencela dan mengumpat. Demikianlah hamba
goda mereka setiap saat."
Soalan
Nabi ke 3 - "Hai Iblis! Mengapa engkau bersusah payah dan berpenat
melakukan pekerjaan yang tidak mendatangkan faedah bahkan menambahkan laknat
yang besar serta siksa yang besar di neraka yang paling bawah? Hai kutuk Allah!
Siapa yang menjadikan engkau? Siapa yang melanjutkan usia engkau? Siapa yang
menerangkan mata engkau? Siapa yang memberi pendengaran engkau? Siapa yang
memberi kekuatan anggota badan engkau?" Jawab Iblis - "Sekelian itu
adalah anugerah daripada Tuhan Yang Maha Besar juga. Tetapi hawa nafsu dan
takbur menceburkan hamba menjadi sebesar-besar jahat. Tuan lebih tahu bahawa
hamba telah beribu-ribu tahun menjadi ketua kepada sekelian Malaikat dan
pangkat hamba telah dinaikkan dari satu langit ke satu langit yang tinggi.
Kemudian hamba tinggal di dunia ini beribadat bersama sekelian Malaikat
beberapa lama. Tiba-tiba datang firman Allah s.w.t. hendak menjadikan seorang
Khalifah di dunia ini, maka hamba pun membantah. Lalu Allah mencipta lelaki
(Nabi Adam) lalu dititahkan sekelian Malaikat memberi hormat kepada lelaki itu,
kecuali hamba yang ingkar. Oleh itu Allah murka kpd hamba dan muka hamba yang
cantik molek dan bercahaya itu bertukar menjadi keji dan hodoh. Hamba berasa
sakit hati. Kemudian Allah menjadikan Adam raja di syurga dan dikurniakan
seorang permaisuri (Siti Hawa) yang memerintah sekelian bidadari. Hamba
bertambah dengki dan berdendam kepada mereka. Akhirnya dapat juga hamba tipu
melalui Siti Hawa yang menyuruh Adam memakan buah Khuldi, lalu keduanya dihalau
dari syurga ke dunia. Kedua mereka berpisah beberapa tahun dan kemudian
dipertemukan Allah (di Padang Arafah), hingga mereka mendapat beberapa orang
anak. Kemudian kami hasut anak lelakinya Qabil supaya membunuh saudaranya
Habil. Itu pun hamba masih tidak puas hati dan berbagai tipu daya hamba lakukan
hingga Hari Kiamat.
Sebelum tuan lahir ke dunia, hamba
serta bala tentera hamba dengan mudah dapat naik ke langit untuk mencuri segala
rahsia serta tulisan yang menyuruh manusia berbuat ibadat serta balasan pahala
dan syurga mereka. Kemudian hamba turun ke dunia, dan memberitahu manusia yang
lain daripada apa yang sebenarnya hamba dapat, dengan berbagai tipu daya hingga
tersesat dengan berbagai kitab bidaah dan karut-marut. Tetapi apabila tuan
lahir sahaja ke dunia ini, maka hamba tidak dibenarkan oleh Allah untuk naik ke
langit serta mencuri rahsia, kerana banyak Malaikat yang menjaga di setiap
lapisan pintu langit. Jika hamba berkeras juga hendak naik, maka Malaikat akan
melontar dengan anak panah daripada api yang menyala. Sudah banyak bala tentera
hamba yang terkena lontaran Malaikat itu dan semuanya terbakar menjadi abu.
Maka besarlah kesusahan hamba dan tentera hamba untuk menjalankan tugas
hasutan."
Soalan
Nabi ke 4 - "Hai Iblis! Apakah yang pertama engkau tipu akan
manusia?" Jawab Iblis - "Pertama sekali hamba palingkan iktikadnya
imannya kepada kafir sama ada dari segi perbuatan, perkataan, kelakuan atau
hatinya. Jika tidak berjaya juga, hamba akan tarik dengan cara mengurangkan
pahala. Lama-kelamaan mereka akan terjerumus mengikut kemahuan jalan
hamba"
Soalan
Nabi ke 5 - "Hai Iblis! Jika umatku sembahyang kerana Allah, bagaimana
hal engkau?" Jawab Iblis - "Sebesar-besar kesusahan kepada hamba.
Gementarlah badan hamba dan lemah tulang sendi hamba. Maka hamba kerahkan
berpuluh-puluh iblis datang menggoda seorang manusia, pada setiap anggota
badannya. Setengah-setengahnya datang pada setiap anggota badannya supaya malas
sembahyang, was-was, terlupa bilangan rakaatnya, bimbang pada pekerjaan dunia
yang ditinggalkannya, sentiasa hendak cepat habis solat, hilangkan khusyuknya -
matanya sentiasa menjeling ke kiri kanan, telinganya sentiasa mendengar orang
brcakap serta bunyi-bunyi yang lain. Setengah Iblis duduk di belakang badan
orang yang sembahyang itu supaya dia tidak kuasa sujud lama-lama, penat atau
duduk tahiyat dan dalam hatinya sentiasa hendak cepat habis sembahyang, itu
semua membawa kpd kurang pahala. Jika para Iblis itu tidak dapat menggoda
manusia itu, maka hamba sendiri akan menghukum mereka dengan seberat-berat
hukuman"
Soalan
Nabi ke 6 - "Jika umatku membaca Al-Quran kerana Allah, apalah rasa
engkau?" Jawab Iblis - "Jika mereka membaca Al-Quran kerana Allah,
maka rasa terbakarlah tubuh hamba, putus-putus segala urat hamba lalu hamba
lari daripadanya."
Soalan
Nabi ke 7 - "Jika umatku mengerjakan haji kerana Allah, bagaimana rasa
engkau?" Jawab Iblis - "Binasalah diri hamba, gugurlah daging dan
tulang hamba kerana mereka telah mencukupkan rukun Islamnya"
Soalan
Nabi ke 8 - "Jika umatku berpuasa kerana Allah, bagaimana hal
engkau?" Jawab Iblis - "Ya Rasulullah! Inilah bencana yang paling
besar bahayanya kepada hamba. Apabila masuk awal bulan Ramadhan, maka
memancarlah cahaya Arasy dan Kursi, bahkan sekelian Malaikat menyambut dengan
kesukaan. Bagi orang yang berpuasa, Allah akan mengampunkan segala dosa yang
lalu dan digantikan dengan pahala yang amat besar serta tidak dicatatkan
dosanya selama dia berpuasa. Yang menhancurkan hati hamba ialah segala isi
langit dan bumi; yakni Malaikat, bulan, bintang, burung dan ikan-ikan semuanya
siang malam mendoakan keampunan orang yang berpuasa. Satu lagi kemuliaan orang
berpuasa ialah dimerdekakan pada setiap masa dari azab neraka. Bahkan semua
pintu neraka ditutup manakala semua pintu syurga dibuka seluas-luasnya, serta
dihembuskan angin dari bawah Arasy yang bernama Angin Syirah yang amat lembut
ke dalam syurga. Pada hari umat tuan mula berpuasa, dengan perintah Allah
datanglah sekelian Malaikat dengan garangnya menangkap hamba dan tentera hamba;
jin, syaitan dan ifrit lalu dipasung kaki dan tangan dengan besi panas dan
dirantai serta dimasukkan ke bawah bumi yang amat dalam. Di sana pula beberapa azab yang lain telah
menunggu kami. Setelah habis umat tuan berpuasa barulah hamba dilepaskan dengan
amaran agar tidak mengganggu umat tuan. Umat tuan sendiri telah merasa
ketenangan berpuasa seperti mana mereka bekerja dan bersahur seorang diri di
tengah malam tanpa rasa takut berbanding bulan biasa."
Soalan
Nabi ke 9 - "Hai Iblis! Bagaimana sekelian sahabatku kepada
engkau?" Jawab Iblis - "Sekelian sahabat tuan hamba juga adalah
sebesar-besar seteru hamba. Tiada upaya hamba melawannya dan tiada satu tipu
daya yang dapat masuk kepada mereka. Kerana tuan sendiri telah berkata yang
"Sekelian sahabatku adalah seperti bintang di langit, jika kamu mengikut
mereka, maka kamu akan mendapat petunjuk." Saidina Abu Bakar al-Siddiq
sebelum bersama tuan lagi, hamba tidak dapat hampir kepadanya inikan pula
setelah berdamping dengan tuan. Beliau begitu percaya atas kebenaran tuan
hingga dia menjadi wazirul a'zam. Bahkan tuan sendiri telah mengatakan jika
ditimbang sekelian isi dunia ini dengan amal kebajikan Abu Bakar, maka akan
lebih berat amal kebajikan Abu Bakar. Tambahan pula dia telah menjadi mertua
tuan kerana tuan berkahwin dengan anaknya, Saiyidatina Aisyah yang juga banyak
menghafaz Hadis tuan. Saiyidina Umar Al-Khattab pula tidaklah berani hamba
pandang akan wajahnya kerana dia sangat keras menjalankan hukum syariat Islam
dengan saksama. Jika hamba pandang wajahnya, maka gementarlah segala tulang
sendi hamba kerana sangat takut. Ini kerana imannya sangat kuat apalagi tuan
telah mengatakan, "JIKALAU adanya Nabi sesudah aku maka Umar boleh
menggantikan aku" kerana dia adalah orang harapan tuan serta pandai
membezakan antara kafir dan Islam hingga digelar 'Al-Faruq'. Saiyidina Usman
Al-Affan lagi hamba tidak boleh hampir, kerana lidahnya sentiasa bergerak
membaca Al-Quran. Dia penghulu orang sabar, penghulu orang mati syahid dan
menjadi menantu tuan sebanyak dua kali. Kerana taatnya, banyak Malaikat datang
melawat dan memberi hormat kepadanya kerana Malaikat itu sangat malu kepadanya
hingga tuan mengatakan,"Barang siapa menulis Bismillahir rahmanir rahim
pada kitab atau kertas-kertas dengan dakwat merah, nescaya mendapat pahala
seperti pahala Usman mati syahid" Saiyidina Ali Abi Talib pun itu hamba
sangat takut kerana hebatnya dan gagahnya dia di medan perang, tetapi sangat
bersopan, alim orangnya. Jika iblis, syaitan dan jin memandang beliau, maka
terbakarlah kedua mata mereka kerana dia sangat kuat beribadat serta beliau
adalah budak pertama memeluk agama Islam dan tidak pernah menunduk kan kepalanya kepada
sebarang berhala. Digelar 'Ali Karamullahu Wajhahu' - dimuliakan Allah akan
wajahnya dan juga 'Harimau Allah' dan tuan sendiri berkata "Akulah negeri
segala ilmu dan Ali itu pintunya". Tambahan pula dia menjadi menantu
kepada tuan, lagilah hamba ngeri kepadanya.
Soalan
Nabi ke 10 - "Bagaimana tipudaya engkau kepada umatku?" Jawab
Iblis - "Umat tuan itu ada tiga macam. Yang pertama seperti hujan dari
langit yang menghidupkan segala tumbuhan iaitu ulama yang memberi nasihat
kepada manusia supaya mengerjakan perintah Allah serta meninggalkan laranganNya
seperti kata Jibrail a.s "Ulama itu adalah pelita dunia dan pelita
akhirat" Yang kedua umat tuan seperti tanah iaitu orang yang sabar, syukur
dan redha dengan kurniaan Allah. Berbuat amal soleh, tawakal dan kebajikan.
Yang ketiga umat tuan seperti Firaun; terlampau tamak dengan harta dunia serta
dihilangkan amal akhirat. Maka hamba pun sukacita lalu masuk kedalam badannya,
hamba putarkan hatinya ke lautan derhaka dan hamba hela ke mana sahaja mengikut
kehendak hamba. Jadi dia sentiasa bimbang kepada dunia dan tidak hendak
menuntut ilmu, tiada masa beramal ibadat, tidak hendak mengeluarkan zakat,
miskin hendak beribadat. Lalu hamba godanya minta kaya dulu, dan apabila
diizinkan Allah dia menjadi kaya, maka dilupakan beramal, tidak berzakat
seperti Qarun yang tenggelam dengan istana mahligainya. Bila umat tuan terkena
penyakit tidak sabar dan tamak, dia sentiasa bimbang akan hartanya dan
setengahnya asyik hendak merebut dunia harta, cakap besar sesama Islam, benci
dan menghina kepada yang miskin, membelanjakan hartanya untuk jalan maksiat,
tempat judi dan perempuan lacur"
Soalan
Nabi ke 11 - "Siapa yang serupa dengan engkau?" Jawab Iblis -
"Orang yang meringankan syariat tuan hamba dan membenci orang belajar
agama Islam"
Soalan
Nabi ke 12 - " Siapa yang mencahayakan muka engkau?" Jawab Iblis
- "Orang yang berdosa, bersumpah bohong, saksi palsu, pemungkir
janji"
Soalan
Nabi ke 13 - "Apakah rahsia engkau kepada umatku?" Jawab Iblis -
Jika seorang Islam pergi buang air besar serta tidak membaca doa pelindung
syaitan, maka hamba gosok-gosokkan najisnya sendiri ke badannya tanpa dia
sedari"
Soalan
Nabi ke 14 - "Jika umatku bersatu dengan isterinya, bagaimana hal
engkau?" Jawab Iblis - "Jika umat tuan hendak bersetubuh dengan
isterinya serta membaca doa pelindung syaitan, maka larilah hamba dari mereka.
Jika tidak hamba akan bersetubuh dahulu dengan isterinya, dan bercampurlah
benih hamba dengan benih isterinya. Jika menjadi anak maka anak itu akan gemar
kepada pekerjaan maksiat, malas pada kebaikan, durhaka. Ini semua kerana
kealpaan ibu bapanya sendiri. Begitu juga jika mereka makan tanpa Bismillah,
hamba yang dahulu makan daripadanya. Walaupun mereka makan, tiadalah rasa
kenyang."
Soalan
Nabi ke 15 - "Dengan jalan apa boleh menolak tipu daya engkau?"
Jawab Iblis - "Jika dia berbuat dosa, maka dia kembali bertaubat kepada
Allah, menangis kesal akan perbuatannya. Apabila marah segeralah mengambil air
sembahyang, maka padamlah marahnya."
Soalan
Nabi ke 16 - "Siapakah orang yang paling engkau lebih suka?"
Jawab Iblis - "Lelaki dan perempuan yang tidak mencukur atau mencabut bulu
ketiak atau bulu ari-ari(bulu kemaluan) selama 40 hari. Di situ lah hamba
mengecilkan diri, bersarang, bergantung, berbuai seperti pijat pada bulu
itu"
Soalan
Nabi ke 17 - "Hai Iblis! Siapakah saudara engkau?" Jawab Iblis -
"Orang yang tidur meniarap, orang yang matanya celik di waktu subuh tetapi
menyambung tidur semula. Lalu hamba ulit dia lena hingga terbit fajar. Demikian
jua pada waktu zohor, asar, maghrib dan isyak, hamba beratkan hatinya untuk
solat"
Soalan
Nabi ke 18 - "Apakah jalan yang membinasakan diri engkau?" Jawab
Iblis - "Orang yang banyak menyebut nama Allah, bersedekah dengan tidak
diketahui orang, banyak bertaubat, banyak tadarus Al-Quran dan solat tengah
malam"
Soalan
Nabi ke 19 - "Hai Iblis! Apakah yang memecahkan mata engkau?"
Jawab Iblis - "Orang yang duduk di dalam masjid serta beriktikaf di
dalamnya"
Soalan
Nabi ke 20 - "Apa lagi yang memecahkan mata engkau?" Jawab Iblis
- "Orang yang taat kepada kedua ibubapanya, mendengar kata mereka,
membantu makan-pakai mereka selama mereka hidup, kerana tuan telah
bersabda,'Syurga itu di bawah tapak kaki ibu' "